4/08/2010

Love is Cinta


Ramai orang dapat memberikan makna yang tepat, sesetengah kita mengangap cinta itu adalah kasih sayang antara lelaki dan perempuan, ada juga mengatakan perasaan yang lahir dari sanubari lantas dizahirkan melalui kata-kata kepada seseorang.

Allah S.W.T lebih awal menyebut cinta di dalam Al-Quran, tanpa kita menyedari cinta yang hakiki adalah datang dari Allah.

“Katakanlah jika kamu menyintai Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah akan mengasihimu”

(Surah Ali-Imran : 31)


Sejahat-jahat manusia yang menderhakai Allah S.W.T, melakukan dosa-dosa besar, tidak lakukan solat, melupakan 'Siapa' yang menjadikan mereka sebenarnya. Tidak pernah sekali atau pun sekejap Allah melupakan mereka ini, Dialah yang memberikan rezki dan udara untuk manusia yang derhaka ini terus hidup.

Dia sengaja melewat-lewatkan Azab-Nya yang diceritakan sangat pedih, memberi masa untuk hamba-Nya yang lemah untuk bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya. Bukankah itu cinta hakiki.

Jika seorang anak yang derhaka kepada ibunya, kebanyakan daripada ibu-ibu ada juga yang mendoakan bala kepada anaknya, merajuk dan meninggalkan anaknya seorang diri, akan tetapi Allah tidak berbuat demikian.. Allah berkata di dalam Al-Quran,

“Katakanlah, wahai Hamba-HambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dengan rahmat Allah, Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya, Sesungguhnya Dialah yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun”

Surah Az-Zumar : 53


Begitulah cinta dan kasih sayang Allah, Pencipta kita kepada makhlukNya, Jika rezeki hamba-Nya tidak cukup maka Allah akan cukupkan rezeki-Nya dengan bersyarat. Syaratnya amat mudah iaitu bertaqwa. Allah sedikit pun tidak meminta rezeki daripada hamba-Nya bahkan Dialah yang memberi rezeki.

“Dan perintahlah keluargamu menunaikan Solat dan bersabarlah dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki darimu, bahkan kami lah yang memberi rezeki, dan kesudahan yang baik bagi orang yang bertaqwa,”

(Taha : 132)


Jika seseorang itu ber “couple” dan masing mempunyai pasangan “bahagia”, lama-kelamaan mereka akan berasa jemu dan ingin menjauhkan diri daripada pasangan masing-masing. Ini kerana cinta yang mereka bina bukanlah cinta yang dipacak di atas dasar cinta kepada Allah. Di sini saya ingin nyatakan bahawa , cinta yang dibina selain daripada cinta kepada Allah, tidak akan berkekalan, maka timbullah tidak percaya kepada pasangan masing-masing, merajuk dan membuat perkara-perkara yang tidak elok. Di Jepun, kebanyakan daripada mereka yang putus cinta akan ke pub, dan meminum minuman keras ,serta terlibat dalam kemalangan akibat mabuk. Macam itukah pengakhirannya?



Tidak dengan Allah. Allah tidak pernah berasa hati kepada hambaNya. Allah tidak juga pernah merajuk jika hambaNya melakukan dosa. Pintu taubat dan jalan menuju Ilahi terlalu luas untuk kita gambarkan.

Marilah sama-sama kita beristighfar kepada Allah S,W.T di atas dosa-doa yang dilakukan. Diceritakan ketika zaman iman Malik, pengasas Mazhab Maliki, terdapat sepasang suami isteri yang masih tidak mendapat anak walaupun telah berkahwin. Maka pasangan ini mengadu kepada Imam Malik tentang masalah mereka, maka Imam Malik menyuruh mereka beristighfar , selang beberapa ketika selepas kejadian itu, pasangan itu pun dikurniakan cahaya mata dan terkejut dan akhirnya mereka berterima kasih kepada Imam Malik.

Cerita ini membuatkan para Ulama’ mengambil pengajaran dan mengkaji tentang hikmah istigfar.

Disebut dalam surah Nuh;


“Maka aku berkata , aku memohon ampun(istighfar) kepadaMu, Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat dari langit kepadamu, dan Dia akan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan kebun-kebun untukmu dan mengadakan sungai untukmu” (Nuh : 10-12)


Di sini lah dinyatakan oleh para Ulama’ Islam dan Sarjana Islam tentang kelebihan beristighfar kepada Allah, maka Allah akan memudahkannya segala urusan , menambah harta dan anak-anak dan jika berlaku sebarang kesulitan, tiada siapa yang perlu kita cari, tidak pada Tukang Tenung Nasib, tidak juga pada bomoh dan pawang-pawang, atau batu cincin hikmah serta tangkal sakti , akan tetapi Yang Maha Mentadbir iaitu Allah S.W.T

Telah terbukti jelas cinta Allah kepada makluknya, kita selaku hambaNya jangan terlalu angkuh untuk mengejar cinta manusia sebelum mengejar cinta kepada Allah.



-Muhammad Hanif bin Mahamud-

Tahun 3 , Perubatan Cawangan Mansurah

0 pendapat/kritikan:

Post a Comment