3/29/2010

Solat Tiang Agama



Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Apa pendapat kamu sekiranya terdapat sebatang sungai di hadapan pintu rumah salah seorang dari kamu dan dia mandi di dalamnya setiap hari sebanyak lima kali. Apakah masih lagi terdapat kotoran pada badannya?” Para Sahabat menjawab: “Sudah pastinya tidak terdapat sedikit pun kotoran pada badannya.” Lalu baginda bersabda: “Begitulah perumpamaannya dengan sembahyang lima waktu. Allah menghapuskan segala kesalahan mereka.” [Bukhari & Muslim]


Suatu perkara yang menarik untuk dibicarakan kali ini berkenaan sikap atau tanggapan sesetengah daripada kita memandang ringan amalan solat yang menjadi rukun Islam ke-2 selepas mengucap dua kalimah syahadah. Contohnya kalau sakit sahaja, maka mereka beranggapan terluputlah amalan solat itu walaupun sakitnya tidak seberapa. Apabila pergi berjauhan atau bermusafir, maka itu dijadikan sandaran pula untuk tidak solat. Apabila sibuk sahaja, ia dijadikan alasan untuk tidak bersolat. Ada juga yang mudah mengqadhakan solat begitu sahaja bila ada sebarang gangguan. Beginilah kita…menjadikan kefardhuan solat itu bila di waktu senang dan aman sahaja, sedangkan Islam meletakkan asas solat sebagai tiang agama. Kalau hanya melakukan amal seperti berpuasa, bersedekah, berzakat, tolong menolong, berakhlak mulia dan segala bentuk amal tetapi mengabaikan solat, ia hanyalah amalan yang penuh sia-sia. Bagaimana amalan lain akan diterima Allah sekiranya ‘tiang agama’ itu sendiri rapuh? Ingatlah di akhirat kelak, perkara pertama yang akan disoal adalah amalan solat kita juga.



Islam amat menitik beratkan soal solat supaya ia sentiasa dilakukan oleh penganutnya. Sebab itu Islam menyediakan kelonggaran bagi sesiapa yang uzur. Kepada yang tidak boleh bersolat seperti biasa, dibenarkan solat duduk dan kalau tak boleh dibenarkan berbaring atau mengiring. Kalau tak boleh juga hanya melalui gerakan kelopak mata pun masih dibenarkan. Begitu juga bagi yang bermusafir, Islam memberikan rukhsah kepada umatnya supaya mengerjakan solat secara jamak atau qasar. Selain itu bagi yang tidak boleh berwuduk seperti biasa dibenarkan bertayammum. Pendek kata walau dalam keadaan mana sekalipun situasi dan kondisi seseorang itu, solat pasti dikerjakan. Qadha solat hanya dibenarkan kepada mereka yang terlupa dan tertidur sahaja. Tidak lebih dari itu.


Kalau ada kemampuan, adalah lebih digalakkan untuk kita solat secara berjemaah. Lebih-lebih lagi solat jemaah di masjid. Apa kelebihannya solat berjemaah daripada solat sendirian? Selain mendapat 27 kali ganda pahala, solat jemaah ini juga memberi impak dari segi kesihatan. Satu kajian telah dibuat oleh seorang professor dari sebuah universiti di Amerika Syarikat. Menurut profesor itu, tubuh badan kita terdiri daripada dua cas elektrik iaitu cas positif dan cas negatif. Dalam perjalanan hidup manusia setiap hari, semasa kita bekerja, beriadah atau berehat, kita banyak menggunakan tenaga dan dalam proses ini banyak berlaku pertukaran cas-cas positif dan negatif yang menyebabkan ketidakseimbangan cas-cas tersebut di dalam tubuh badan kita. Ini menyebabkan kita berasa letih dan lesu apabila kita selesai menjalankan aktiviti-aktiviti harian kita. Cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk memulihkan tubuh badan kita ke keadaan normal supaya kita kembali segar dan dapat menjalankan aktiviti-aktiviti lain tanpa gangguan.


Berbalik kepada kaitan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor tadi mengapa Islam menyuruh umatnya bersolat, sehingga mewajibkan solat berjemaah. Setelah kajian dibuat, professor itu mendapati apabila tubuh kita bergeseran dengan tubuh jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita, tubuh kita mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dengan tubuh jemaah di sebelah. Jemaah lain juga akan mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dengan tubuh badan kita. Maka berlakulah keseimbangan cas-cas positif dan negatif. Semakin lama geseran itu berlaku maka semakin seimbang dan segar tubuh kita. Sungguh, tiap-tiap perkara yang disyariatkan oleh Islam pasti ada faedahnya. Maka, mengapa kadang kala kita sendiri yang tidak mengendahkan ajaran Islam, lebih-lebih lagi soal solat yang menjadi asas keimanan kita?


Sama-samalah kita muhasabah diri kita. Selamat beramal!....


Oleh,

Syed Muhammad Syamim,

Tahun 1 Conventional

Universiti Mansurah


Kempen Solat Tiang Agama
"Cintai Rasulullah, Pemangkin Biah Solehah"

0 pendapat/kritikan:

Post a Comment