
SC Gabungan : Ukhuwah bertautan, Ibrah dari alam
5 Mac 2010, Jumaat – Unit Pembangunan Insan (UPI) bersama-sama Mentor Council (MC) sekali lagi mengorak langkah kehadapan dengan pelaksanaan program yang berbentuk santai tetapi berisi. Smart Circle (SC) Gabungan, yang melibatkan kesemua sembilan SC Tahun Satu, dengan jayanya telah diadakan di Istad Gamaah (Stadium Universiti) Mansoura.
Mensasarkan penekanan dalam aspek ukhwah dan tarbiah, program kali ini ternyata menghidangkan satu tentatif yang menarik bukan sahaja kepada para peserta (mentee), malah turut sama kepada para mentor. Penglibatan dalam jumlah yang menggalakkan dari kedua-dua belah pihak iaitu mentor dan mentee ternyata menjadi kayu ukur kepada keterlibatan para mahasiswa secara berterusan dalam aktiviti yang dianjurkan oleh Perubatan Cawangan Mansurah (PCM). SC Gabungan kali ke-2 ini merupakan kesinambungan dari SC Gabungan kali pertama, atau lebih dikenali dengan Road to Dumyat.
Bermula seusai solat Jumaat, SC Gabungan kali ini membuka gelanggang dengan pendaftaran para peserta. Sebagai warming-up, slot nyanyian lagu tema ternyata berjaya membakar semangat para mentee dan tidak kurang juga para mentor apabila turut sama mempersembahkan satu paduan suara sebagai cabaran buat adik-adik SC. Aktiviti diteruskan dengan pengisian Slot 1, Aurat dan Ikhtilat. Slot ini menyaksikan satu keterlibatan yang cukup agresif dan bersungguh-sungguh oleh semua peserta sementelah ia melibatkan aktiviti fizikal. Namun, objektif utama dikonklusikan di pengakhirannya oleh para mentee dan mentor yang mana menyaksikan tercapainya objektif yang diinginkan.
Santai Slot yang ke-2 ternyata menjadi. Pengisian oleh Ustaz Salman Maskuri secara perbincangan terbuka berjaya mengajak peserta untuk lebih berfikir dan mensyukuri hikmah ciptaan Allah. “Ambillah ibrah (pengajaran) dari alam, dalam penciptaan langit dan bumi, malah dalam penyempurnaan penciptaan manusia itu sendiri”. Sesi diakhiri dengan slot soal jawab berkenaan dengan Aurat dan Ikhtilat yang turut sama diminta pencerahan dari Ustaz Salman sendiri.
Selepas berjemaah Solat Asar di padang, SC Gabungan kali ini diteruskan dengan slot makan. Kesempatan ini diambil untuk bermesra sesama ahli, merapatkan ukhuwah dan lebih mengenali. Lebih-lebih lagi apabila saudara Pengerusi, Saudara Ikram Ishak yang turut sama turun padang dari awal aktiviti bermula.
Tidak terhenti di situ sahaja, slot riadah segera menyusuli dengan menghidangkan acara tarik tali. Menguji ketahanan fizikal dan kerjasama setiap kumpulan, acara ini sememangnya riuh dengan gelagat setiap peserta. Sepetang bersama, sesi penggulungan dan penyampaian hadiah menutup gelanggang SC Gabungan kali ke-2 ini dengan jayanya.
Ternyata, feedback positif diterima walau penat badan dan kehausan tenaga. Aktiviti luar dewan sebegini diharap dapat dilanjutkan lagi untuk masa-masa hadapan. Selain membuka minda, ukhuwah yang terbina diharap berterusan dan bertambah kukuh untuk diperpanjangkan bukan sahaja di dalam program, malah bila-bila masa dan dimana sahaja hendaknya. Wallahualam.




0 pendapat/kritikan:
Post a Comment