3/25/2010

Rasulullah Rahmat Sekalian Alam



"Tidak Aku utuskan Engkau (wahai Muhammad) melainkan
sebagai rahmat untuk sekalian alam"

Dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan 20 April 570 M. Pada malam kelahiran Nabi Muhammad S.A.W terjadi beberapa perkara keajaiban. Dia antaranya patung-patung berhala di sekeliling Ka'abah berjumlah 360 buah jatuh. Semasa kelahiran Nabi S.A.W, bondanya melihat keluarnya cahaya darinya hingga menerangi istana-istana Syam. Singgahsana dan istana Raja Parsi retak dan tiang penyangganya hancur. Api sembahan orang-orang Parsi terpadam dan surutnya air danau Sawat.

Baginda kemudiannya dibesarkan oleh ibu susuannya, Halimatun Sa'adiah di sebuah perkampungan Bani Sa'ad sehingga berusia 5 tahun sebelum diserahkan kembali kepada bondanya, Aminah.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Anas R.A bahawa Rasulullah S.A.W didatangi Jibril ketika Baginda S.A.W bermain dengan kanak-kanak lain. Baginda S.A.W dibawa pergi lalu dibaringkan dan dibelah dadanya dan dikeluarkan hatinya. Dari hatinya itu Jibril mengeluarkan segumpal darah hitam. Kemudian Jibril menyatakan, "inilah bahagian syaitan yang terdapat dalam tubuhmu. Hati Rasulullah dicuci dengan air zam-zam dalam sebuah bejana emas. Sementara itu kanak-kanak yang bermain dengannya lari menemui ibu mereka dan berkata, "Muhammad sudah dibunuh orang."

Setelah kematian bonda dan datuk tersayang, baginda S.A.W dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Tolib. Ketika berusia 24 tahun, baginda S.A.W diamanahkan oleh Sayyidah Khadijah RA untuk berdagang ke Syam. Atas kejujuran baginda S.A.W, hasil jualan yang diperolehi berlipat kali ganda. Sifat terpuji ini telah menambat hati Sayyidah Khadijah lantas beliau melamar baginda S.A.W. dan bernikah. Hasil pernikahan ini, baginda dikurniakan 6 cahaya mata, Qasim, Abdullah, Zainab, Ruqayyah, Fatimah dan Ummi Kalthum.

Baginda S.A.W diangkat menjadi rasul ketika berusia 40 tahun di Gua Hira'. Maka bermulalah penyebaran Islam di Mekah selama 13 tahun dan Madinah selama 10 tahun. Meskipun mendapat tentangan hebat dari kaum kafir Quraisy, baginda S.A.W tetap menyebarkan dakwah Islam kepada mereka.

"Sungguh, Kami telah mengutusmu (Muhammad) dengan kebenaran, sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan engkau tidak akan diminta (pertanggungjawaban) tentang penghuni-penghuni neraka."

[Al-Baqarah: 119]

Hari kewafatan baginda S.A.W pada hari Isnin, tahun 11 Hijrah bersamaan 632 M merupakan hari yang paling menyedihkan bagi seluruh umat Islam bahkan seluruh alam. Di saat ajal, Baginda S.A.W masih lagi bertanyakan Malaikat Jibril tentang nasib umatnya.

Jibril bertanya: Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin kau tanyakan? Rasulullah S.A.W bersabda: apakah yang akan diperoleh orang-orang yang membaca Quran sesudahku? Apakah yang diperoleh orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperoleh orang-orang yang berziarah ke Bait Al-Haram sesudahku? Jibril menjawab: aku membawa khabar gembira untukmu. Sesungguhnya Allah telah berfirman; Aku telah mengharamkan syurga bagi semua Nabi dan umat sehinggalah engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu.


Dialah Muhammad S.A.W, penghulu dan penutup segala nabi, pembawa rahmat kepada seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Betapa cintanya Nabi S.A.W terhadap kita,tetapi apakah kita juga mencintai Baginda S.A.W? Kalau benar kita cinta, banyakkanlah selawat dan sentiasa berpegang dengan Al-Quran dan sunnah. Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai contoh yang terbaik untuk kebahagiaan dunia dan akhirat.



Oleh,
Karimah Binti Abdul Ghani,
Predentistry,
Universiti Mansurah



Kempen Cintakan Rasulullah Dan Sahabat
"Cintai Rasulullah, Pemangkin Biah Solehah"

0 pendapat/kritikan:

Post a Comment