3/30/2010

Perjumpaan FC Tergempar!


Pada 26 Mac, selepas sahaja selesai solat Jumaat, telah diadakan satu perjumpaan tergempar dengan mentor ikhwah dan akhawat di Darul Rahmah. Petang yang sepi itu digemparkan dengan pembentangan gerak kerja usul yang telah dipersetujui dalam Mesyuarat Tahunan Cawangan PERUBATAN Cawangan Mansurah.

Tidak ketinggalan juga, ketua syari' dan ketua batch yang turut sama menghadirkan diri di program ini. Ia menunjukkan tentang betapa pentingnya perjumpaan ini sehinggakan mereka turut sama menghadirinya. Walaupun, iklan perjumpaan disebarkan agak lewat, namun kehadiran amat menggalakkan kerana para “komando Sc” adalah seorang sangat berkomitmen tinggi dan mempunyai kesedaran yang tinggi.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi PCM, Saudara Muhammad Ikram b Ishak. Beliau menegaskan tentang kepentingan mencegah kemungkaran yang sejak akhir – akhir ini semakin bercambah giat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Kemudiannya majlis diteruskan dengan tazkirah kesedaran tentang 6 elemen penting yang terdapat dalam Kempen Biah Solehah dan akan dijalankan dengan giatnya bermula hari ini sehingga pengakhiran sesi 2009/2010. Walaupun kempen ini banyak dilakukan pada musim peperiksaan kerana kesuntukan masa, namun ianya masih boleh bernafas kerana ianya melibatkan pembangunan ahli secara fizikal dan rohani. 6 elemen penting yang diperkenalkan adalah Cintakan Rasulullah Dan Sahabat, Tanam Mahmudah, Salam, Senyum dan Sangka Baik (3S), Solat Tiang Agama, Aurat dan Ikhtilat, Budaya Ilmu dan Perpaduan. Kesemuanya memegang tugas penting dalam menjayakan objektif PERUBATAN dan menjamin survival tema PERUBATAN iaitu Ilmuan Berbakti Teguh Sehati.

"Cintakan Rasulullah Pemangkin Biah Solehah". Tema umum yang dipersetujui sebulat suara untuk ketiga – tiga kempen ini. Dengan tertanamnya sifat mahabbah kepada rasulullah, maka segalanya akan menjadi senang dan tenang. Kempen ini mestilah disemai dalam hati setiap mahasiswa/wi mansurah agar ianya menjadi satu misi yang ingin dicapai dalam kempen ini .

Seterusnya majlis diteruskan dengan ucapan ketua kempen perpaduan, saudara Zaim b Abd Aziz. Menurutnya, perpaduan hanya akan dicapai melalui biah yang solehah. Untuk berpadu ia memerlukan kerjasama dari setiap lapisan masyarakat. Beliau juga turut mengulas sedikti sebanyak tentang beberapa isu perpaduan yang berbangkit kebelakangan ini.

Berakhirnya ucapan tentang usul maka, majlis disambung semula dengan ucapan dari 3 unit penting dalam PCM yang menjadi nadi kepada kempen biah solehah ini. Dimulakan dengan pembentangan gerak kerja dari Unit Pembangunan Insan, kemudiannya Unit Akademik dan diakhiri dengan JAKSI.

Kesemua 3 unit ini sedikit sebanyak telah menggerakkan kempen ini melalui artikel, bookmark, borang muhasabah solat, internet dan berbagai lagi. Pengarah JAKSI, saudara Muhammad Izzat bin Md Kamal, telah menegaskan bahawa ramai yang mempertikaikan hikmah dalam menegur. Maka beliau telah mencadangkan cara menegur yang terbaik jika nampak maksiat maka tegurlah begini “ benda yang kamu buat ini salah. Tapi saya tidak tahu, bagaimana ingin menegur kamu, kalau kamu tahu bagaimana saya boleh tegur kamu dengan cara betul maka beritahulah.”

Dengan berakhirnya ucapan dari pengarah JAKSI, maka berakhirlah slot kepentingan kempen biah solehah. Majlis seterusnya diteruskan dengan perasmian “Kempen Ukhwah Never End ” oleh pengerusi PCM. Selepas merasmikan kempen, saudara pengerusi sekali lagi memberikan kalam semangat untuk terus belajar dan disamping itu sama – sama juga menjaga bumi Mansurah ini terpelihara daripada segala perkara tidak elok.

Majlis berhenti setelah beberapa minit azan Asar berkumandang. Para hadirin merasakan kempen biah solehah ini merupakan teras utama dalam menghidupkan PCM dan juga Islam di hati rakyat Malaysia di Mansurah amnya. Diharap agar dengan berakhirnya perjumpaan ini, akan tersemainya kesedaran dan kepentingan persekitaran Islam dan keharmonian di antara rakyat Malaysia di Mansurah ini seluruhnya.


Mentor Council

Unit Pembangunan Insan

Perubatan Cawangan Mansurah 2009/2010

0 pendapat/kritikan:

Post a Comment